Tuesday, March 25, 2008

Yana AF6 pelajar pertama tersingkir


PETALING JAYA, 23 MAC 2008: Ramalan ramai pihak bahawa tiadanya penyingkiran dalam konsert sulung Akademi Fantasia musim keenam (AF6) yang berakhir lewat malam tadi nyata tersasar kerana Yana menjadi pelajar pertama yang terpaksa mengundur diri.


Keputusan mengejutkan itu diumumkan pada penghujung konsert itu yang berlangsung di Dewan Sivik, di sini.


Dalam konsert itu, Yana atau nama sebenarnya, Marliaya Omar Walid, 24, membawakan lagu yang pernah dipopularkan Elyana, Diriku Tapak Sulaiman. Beliau berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan bekerja sebagai penyanyi sambilan.


Dengan penyingkiran itu, kini 13 pelajar lain akan meneruskan perjuangan pada minggu depan.

Pelajar lain yang membuat persembahan malam tadi ialah Mama Rina dengan lagu Simply The Best yang pernah dipopularkan Tina Turner, Naim (Memburu Rindu), Lufya (Ingkar), Alif (Sayang Sayang), Ika (Kesetiaan), Nadia (Rindu), Toi (Pagi Yang Gelap), Riz (Ketulusan Hati), Nubhan (Ruang Rindu), Stacy (No One), Faisal (Satu Qiblat Yang Sama), Saida (Terlalu Cinta) dan Stanly (You Raise Me Up).

Konsert yang julung kali dihoskan AC Mizal itu turut menampilkan pengkritik tetap iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Ning Baizura serta Ajai sebagai pengkritik jemputan.


Antara pelajar yang mendapat pujian pengkritik dalam konsert pertama itu (dari segi persembahan dan vokal) adalah Toi, Nadia serta Riz manakala pelajar yang teruk dikritik adalah Naim dan Ika.


Juara AF6 kelak akan menerima hadiah lumayan seperti sebuah banglo 4 bilik di A Famosa Resort (Melaka), sebuah kereta Peugeot 307, wang tunai RM25,000 serta pakej percutian ke New York.

No comments: