Tuesday, March 25, 2008

Superman memang Superb - Faizal Tahir



Label: MonkeyBone
Judul: Aku. Muzik. Kamu
Artis: Faizal Tahir
Genre: Pop Rock




Agak lama saya tidak bepeluang mendengar sebuah album tempatan yang mempunyai konsep rock n roll yang best, cool dan happening macam album sulung Faizal Tahir yang berjudul Aku. Muzik. Kamu.


Pada masa yang sama ia memiliki kualiti yang cukup baik dari segi kerja produksinya dan lebih memberikan kepuasan apabila album ini turut membuatkan hampir kesemua lagu yang memang enak menjadi santapan jiwa dan halwa telinga.


Itu belum lagi dicampur dengan vokalnya yang memang dahsyat. Saya harus katakan di sini bahawa dia adalah antara penyanyi lelaki tanahair kita yang terbaik selepas Amy Search, Awie Wings, Hattan, Anuar Zain dan Hazami.

Namun, uniknya Faizal kerana vokalnya cukup versatil kerana dia boleh menyanyikan lagu R&B dengan cukup baik sebagaimana yang dibuktikannya dengan lagu Kasih Tercipta serta melontarkan vokalnya dengan nuansa rock yang lebih tebal dalam Mahakarya Cinta.


Jadi kalau anda banyak sangat mendengar kata-kata pujian dilemparkan terhadap album sulung Faizal Tahir ini, tidak perlulah persoalkan mengapa dan sebab apa fenomena itu terjadi.


Sayang seribu kali sayang dengan musibah yang menimpa Faizal berikutan insiden membuka baju itu. Ramai yang bertanya pandangan saya mengenai tindakan Faizal yang sama sekali dianggap keterlaluan waktu menjayakan konsert tersebut.


Dalam hal ini, saya lebih sayangkan bakat semulajadi yang ada pada Faizal. Lagipun selama 10 tahun menjadi penulis hiburan, memang susah untuk melihat kemunculan penyanyi lelaki yang bagus-bagus di dalam industri.


Apatah lagi bila Faizal juga boleh menulis lagu serta mencipta liriknya sendiri dengan begitu baik sekali. Saya tak nafikan Faizal harus menerima 'hukuman' hasil daripada kesilapannya yang tidak berfikir panjang itu. Tapi, biarlah 'hukuman' itu benar-benar setimpal serta tidak menberikan kesan sampingan buruk yang lain yang boleh menjejaskan periuk nasinya serta masa depannya sebagai penyanyi rakaman.


OK, kita tinggalkan dulu isu kontroversi Faizal itu. Terus kepada album ini. Kalau anda seorang pendengar yang cukup peka, cerewet serta amat dahagakan good music daripada atau penghibur tempatan kita, maka album ini memang sangat berbaloi untuk dimiliki.


Sebaik saja menghayati dari satu lagu ke satu lagu di dalam album ini, anda secara automatik pasti akan menggelarkan Aku. Muzik. Kamu sebagai sebuah killer album kerana setiap lagu yang diselitkan di dalamnya mempunyai kekuatannya yang tersendiri.


Rasanya tidak perlulah saya mengulas lebih panjang lebar mengenai lagu Mahakarya Cinta ciptaan Audi Mok serta Shah Shamshiri kerana anda sudah cukup kenal akan lagu itu.


Saya mahu membawa anda menghayati lagu Aku Punya Kamu yang sangat kental elemen bluesnya walaupun hanya menggunakan range 12 bar blues namun ia digarap dengan cukup baik oleh Audi Mok dan Faizal sendiri berjaya memberikan nyawa pada lagu ini dengan lirik yang cukup menarik.


Saya juga suka dengan persembahan vokal Faizal di dalam track keempat ini kerana dia perlu menggunakan banyak range vokalnya yang berbeza-berbeza. Sesuatu yang mencabar untuk Faizal membawakan lagu ini.


Memang lagu ini adalah antara yang paling saya gemari kerana ia sentiasa mengingatkan saya kepada lagu-lagu yang pernah dibawakan penyanyi British, Robbie Williams yang juga salah seorang daripada anggota kumpulan Take That.


Sampai Syurga ciptaan Audi bersama Faizal yang berada di dalam track ketujuh juga adalah kegemaran saya. Saya tidak tahu bagaimana hendak jelaskan mengapa saya menyukai lagu ini. Walhal ia adalah sebuah lagu moderate perlahan dan melodinya sebenarnya adalah biasa saja. Namun susunan muziknya yang superb itu membuatkan lagu itu memiliki jiwanya sendiri.


Malah ada beberapa verse tertentu pada lagu itu yang kedengaran sayu hingga berjaya menyentuh emosi saya dan liriknya yang menceritakan mengenai harapan seseorang yang sanggup menunggu seseorang yang disayangi serta dicintainya itu membuatkan jiwa raga kita sebagai pendengar menjadi lebih tersiksa dan kacau.


Sungguhpun lagu ini turut memberikan harapan untuk kita terus bergerak ke hadapan dan pada saat itulah ia dicantikkan lagi dengan iringan vokal koir latar daripada Edna Angles yang cukup sweet serta mempesona. Sesuai dengan mood lagu itu.


Lagu lain yang harus anda putarkan juga ialah Kerna Kamu. Energy pada lagu ini akan mengingatkan anda pada Generasiku (OAG) terutama sekali pada korusnya.


Mungkin Tidak Bisa pula mempunyai pengaruh lagu Indonesia. Penggunaan Na..Na...Na... itu mengingatkan saya pada salah sebuah lagu yang pernah dibawakan sebuah band muzik Indonesia. Begitu juga dengan Mestikah Ada Yang Lain. Lagu ini mempunyai pengaruh Dewa19 yang sangat tipikal.


Sebuah lagi lagu ialah La Di Dum yang berbahasa Inggeris. Dalam lagu ini, Faizal nampak begitu bebas melontarkan vokalnya dengan tahap paling maksimum. Waktu dengar lagu yang memiliki sentuhan Queen ini, saya tidak dapat bayangkan ia adalah nyanyian Faizal. Superb sangat....

No comments: