Monday, April 7, 2008

Album Mila Penuh Attitude



LABEL: Maestro Records
JUDUL: Persis Mutiara
ARTIS: Mila
GENRE: Pop


Sebenarnya industri muzik kita memang sangat-sangat memerlukan lebih ramai lagi penyanyi remaja berusia belasan tahun yang mempunyai imej serta attitude yang masih lagi sweet serta keanak-anakan seperti Mila.


Sebabnya, mereka inilah sebenarnya individu yang paling layak serta sesuai sekali untuk mengisi ruang yang sekian lama wujud di kalangan pendengar generasi muda kita pada masa kini.


Buktinya, kehadiran Mila diterima dengan begitu baik sekali di kalangan peminat kecil serta mereka yang masih lagi berada di bangku persekolahan. Begitu juga dengan Dafi dan paling terbaru ialah penyanyi dari Singapura, Aliff Aziz.

Di Amerika Syarikat (AS) sendiri pun begitu juga. Penyanyi cilik seperti Hannah Montana, Jojo termasuklah Hillary Duff dan Lindsay Lohan yang memulakan kerjaya nyanyian pada usia yang awal lebih mendapat perhatian dari kalangan kelompok peminat yang usianya begitu.


Berbalik semula pada Mila dan album sulungnya yang menggunakan judul Persis Mutiara ini. Saya suka dengan judulnya. Sesuai dan kena sangat dengan dia sebab dia muncul sebagai juara Akademi Fantasia Musim Kelima.


Kebetulan dia adalah peserta wanita tunggal yang julung kali pertama menjuarai program realiti hiburan tersebut dan secara kebetulan pula, dia adalah anak kelahiran Pulau Mutiara.


Malah saya juga suka dengan imej dan attitude yang cuba ditonjolkan pihak pengurusan Maestro Talent dan Management terhadap Mila di dalam album ini. Sangat adil dengan perwatakannya yang lincah dan usianya yang masih lagi segar dan muda.


Cuma hanya isi kandungan album ini saja yang membuatkan saya tidak begitu gembira kerana ia tidak dilakukan secara all out dan ini membuatkan Mila seolah-olah nampak tersepit di antara kehendak dirinya dengan syarikat rakaman.


Apa yang membuatkan saya paling tidak faham ialah syarikat rakaman sebenarnya berhasrat untuk tonjolkan Mila sebagai bintang pop remaja yang lincah dan energetik sebagaimana yang pernah diraih Avril Lavigne.


Untuk merealisasikan hal ini, mereka sedar bahawa perlunya ada lagu yang rancak, catchy dan happening seperti Mila Bila Cinta, Gila atau yang moderate catchy seperti Aku Lebih Tahu.


Namun, pada masa yang sama mereka juga tidak yakin dengan apa yang mereka lakukan hingga terpaksa meletakkan lagu yang pop ballad perlahan seperti Pergimu dan Demi Cinta Selamanya.


Kegagalan untuk membuat keputusan yang berani dan tepat dalam menentukan hala tuju Mila sebagai penyanyi pop yang bagaimana yang kita perlu ada di dalam industri ini akhirnya akan memberikan kerugian.


Memang tidak dinafikan banyak lagu sedap yang ada di dalam album ini. Tapi, dengan adanya beberapa lagu yang kurang sesuai dengan imej, muzik serta pembentukan keseluruhan album itu membuatkan ianya kurang memberikan kesan serta kepuasan pada pendengar.

Sumber-Murai.com.my