Monday, March 31, 2008

Konsert AF6: Ika Pelajar Kedua Tersingkir


PETALING JAYA, 30 MAC 2008: Tepat sebagaimana yang diramalkan kebanyakan pihak, Ika menjadi peserta kedua yang tersingkir di dalam Konsert Minggu Kedua Akademi Fantasia 6 (AF6). Keputusan itu diumumkan pada penghujung konsert tersebut yang berlangsung di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.


Dalam konsert itu Ika atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim membawakan lagu Malu Tapi Mahu yang pernah dipopularkan Dina daripada Malaysian Idol. Beliau berasal dari Pulau Pinang dan merupakan penuntut Diploma Komunikasi. Dengan penyingkiran itu, 12 pelajar lain akan meneruskan perjuangan mereka pada minggu depan.


Pelajar lain yang membuat persembahan pada malam itu ialah Mama Rina dengan lagu Ku Seru yang pernah dipopularkan Misha Omar, Lufya (Cintaku 100%/Mas Idayu), Saida (Dokter Cinta/Dewi-Dewi), Toi (Sang Pencinta/M Nasir), Faisal (Ranggi Metropolis/Wings), Nadia (Umbrella/Rihanna), Riz (Separuh Masa/The Lima), Stacy (Rela/Tila), Nubhan (Tak Bisa Memilihmu/6ixthsense), Naim (Aspalela/Saiful Apek), Alif (Angan & Sedar/Mawi) dan Stanly (Sudah Tu Sudah/Imran Ajmain).

Selain Ika, peserta lain yang turut disebut-sebut menjadi calon pilihan ramai untuk disingkirkan di dalam konsert minggu kedua ini ialah Alif, Naim dan Faisal. Ini berikutan prestasi persembahan mereka yang tonjolkan pada konsert pertama minggu lalu, tidak begtitu menonjol serta memberikan impak pada penonton.


Sungguhpun begitu, Faisal nyata bangkit menebus maruahnya semula selepas minggu lalu, pengkritik tetap iaitu Fauziah a.k.a. Ogy Datuk Ahmad Daud mengatakan pada minggu lalu bahawa cara nyanyiannya sebagai tidak beremosi dan sangat membosankan. Namun kali ini, Faisal tampil memberikan persembahan bertenaga sehingga menarik perhatian ketiga-tiga pengkritik.


Selain Faisal, pelajar lain yang turut mendapat pujian pada konsert minggu kedua ini ialah Stacy, Nubhan serta Mama Rina, manakala peserta yang mendapat komen paling teruk ialah Alif, Naim serta Ika sendiri. Jika minggu lalu, sorakan dan tepukan gemuruh diberikan kepada Nadia, kali ini ia beralih pula kepada Stacy.


Konsert yang julung kali dihoskan AC Mizal pada musim ini, menyaksikan perubahan apabila tempat pengkritik tetap Ogy digantikan dengan Adlin Aman Ramlie. Ketiadaan Ogy adalah kerana komitmennya sebagai pengacara bersama dengan Raja Azura pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH2007) yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, malam ini.


Pada konsert minggu kedua ini juga, Adlin bersama Ning Baizura (pengkritik tetap AF6) dan pengkritik undangan, Aidit Alfian turut diberi peluang untuk memilih pelajar yang mereka rasakan patut dikeluarkan pada minggu itu. Ning memilih Ika, Aidit (Naim), manakala Adlin yang pada awalnya memilih Ika kemudian menukar kepada Alif.


Sungguhpun begitu pemilihan mereka langsung tidak mempengaruhi apa-apa undian yang dilakukan peminat menerusi Afundi yang diaktikfkan oleh Hotlink.


Juara AF6 kali ini berpeluang menerima hadiah lumayan seperti sebuah banglo 4 bilik di A Famosa Resort di Melaka, sebuah kereta Peugeot 307, wang tunai RM25,000 dan pakej percutian ke New York.

No comments: