Saturday, March 22, 2008

Hamilton catat masa terpantas



DUA seteru utama F1, Kimi Raikkonen dari pasukan Ferrari dan pelumba pasukan McLaren Mercedes, Lewis Hamilton (Gambar) kembali bersemuka dalam sesi latihan bebas Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. Hamilton mencatat masa terpantas pada sesi ujian kedua dengan catatan 1 minit 35.055 saat manakala Felipe Massa dari pasukan Ferrari kedua dengan 1:35.206s dan Raikkonen ketiga, 1:35.428s


SEPANG – Pelumba McLaren, Lewis Hamilton membuktikan dia merupakan orang yang perlu ditewaskan musim ini apabila mencatat masa terpantas keseluruhan pada sesi latihan bebas kedua, Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Sepang, semalam.

Ketika ditekan hebat dua pelumba Ferrari, Felipe Massa dan Kimi Raikkonen yang pada mulanya menguasai peringkat awal saingan, Hamilton menggunakan lima minit terakhir sesi latihan tersebut untuk mencatat masa terbaiknya 1 minit 35.055 saat.

Catatan itu bukan sahaja mengetepikan Massa di tempat kedua (1:35.206s) dan Raikkonen di tempat ketiga (1:35.428s) malah turut mengatasi catatan masa terpantas Massa 1:35.392s yang dilakukan pelumba Brazil itu pada sesi latihan pertama sebelum itu.

Pada sesi latihan di sebelah pagi itu, Ferrari menguasai kedudukan 1-2 dalam mencatat masa terpantas diikuti seorang lagi pelumba McLaren, Heikki Kovalainen manakala Hamilton sekadar di tempat kelima.

Bagaimanapun kedudukan awal itu langsung tidak menjejaskan tumpuan Hamilton apabila pelumba berusia 23 tahun dari Britain itu mencuba pada sesi latihan kedua sebelum akhirnya berjaya memperbaiki catatan masa dan seterusnya muncul pemandu terpantas.

Ternyata sesi latihan semalam menyaksikan Ferrari mempamerkan keazaman tinggi untuk memperbaiki prestasi buruk mereka pada pusingan pertama di Melbourne.

Raikkonen yang gagal menamatkan perlumbaan pada GP Australia Ahad lalu akibat dua kali mengalami masalah enjin tetapi masih bernasib baik dapat meraih satu mata, lebih dulu berada di depan.

Manakala Massa yang turut gagal menamatkan perlumbaan di Melbourne akibat terbabit kemalangan dengan pelumba Red Bull, David Coulthard dan masalah enjin kemudiannya masuk lewat sedikit ke trek dan terus memintas catatan masa yang dilakukan Raikkonen.

Tetapi malangnya masa itu tidak dapat dipertahankan dua pelumba Ferrari itu apabila Hamilton yang merupakan juara pusingan pembuka tirai 2008 GP Australia bangkit dengan persembahan dan pemanduan mantap di penghujung sesi latihan kedua.

Menduduki tempat keempat terpantas semalam adalah pelumba Honda yang turut gagal menamatkan perlumbaan di Melbourne akibat kemalangan, Jenson Button, diikuti pelumba yang disebut-sebut bakal dilamar Ferrari untuk musim depan, Sebastian Vettel dari pasukan Torro Rosso.

Naib juara GP Australia, Nick Heidfeld dari pasukan BMW Sauber pula agak mengejutkan apabila sekadar mampu menduduki tempat ke-13 terpantas diikuti pelumba Renault, Fernando Alonso di tempat ke-14.

Manakala rakan sepasukan Heidfeld, Robert Kubica, di tempat kelapan terpantas. Pelumba William yang menduduki tempat ketiga di Melbourne, Nico Rosberg pula di tempat ke-12 terpantas.

Dua pelumba pula gagal beraksi pada sesi latihan bebas kedua semalam iaitu Sebastien Bourdais dari pasukan Toro Rosso dan Coulthard.


Sumber-Utusan

No comments: