Tuesday, June 3, 2008

Stacy Menang Sebelum Bertanding!

Berada di celah-celah khalayak penonton sewaktu menyaksikan konsert final Akademi Fantasia Musim Keenam (AF6) yang dipancarkan secara langsung di Astro Ria dari Stadium Putra, Bukit Jalil, Sabtu lalu memang cukup mengasyikkan.


Bermacam-macam ragam penonton dapat disaksikan termasuklah sentimen peribadi mereka terhadap 5 pelajar yang berjaya melayakkan diri ke final iaitu Riz, Nadia, Stacy, Toi serta Nubhan.


Bahangnya cukup terasa sekali terutama apabila munculnya kelompok fans bagi setiap pelajar itu, lengkap dengan sepanduk masing-masing. Dengan tidak disangka-sangka, Nubhan berjaya mengumpulkan ramai peminat pada malam itu mengalahkan Riz yang selama ini diketahui sudah mempunyai kelompok peminat yang besar.

Peminat Toi pun tidak mahu kalah juga. Walaupun bilangan mereka tidak sebesar mana, sorakan yang dilaungkan untuk Toi agak meriah. Setidak-tidaknya lebih hangat daripada sorakan yang diterima Nadia daripada kalangan peminatnya.

Namun, sorakan paling gemuruh dan terkuat pastinya untuk Stacy. Ia sekaligus memberikan petanda bahawa rata-rata penonton pada malam itu sudah pun memilih Stacy sebagai 'juara sebelum bertanding'.


Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu yang akan meniti usia 18 tahun pada 18 Ogos ini, sememangnya satu-satunya pelajar AF6 yang paling konsisten beraksi.


Apapun tahniah buat seluruh warga penonton, peminat serta pengikut AF kerana telah membuat keputusan yang cukup tepat bagi memilih Stacy sebagai juara AF6.


Sungguhpun begitu, persembahan yang ditonjolkan Stacy pada malam itu tidaklah begitu luar biasa jika dibandingkan dengan beberapa persembahan konsert mingguan AF6 yang pernah dijayakannya sebelum ini.


Tidak banyak momentum serta klimaks yang berjaya dicetuskan Stacy menerusi 2 lagu yang dipersembahkannya pada malam itu iaitu Atas Nama Cinta yang pernah dipopularkan Rossa serta sebuah lagu baru, Aku Stacy ciptaan Intan Norul Azlina dan Layla Ismail.


Bukan Stacy tidak cukup bagus pada malam itu. Memang Stacy sudah pun melakukan yang terbaik, sayangnya dia tidak mendapat lagu yang benar-benar kuat seperti konsert mingguan. Sebagai contoh dia begitu mantap ketika mendangkan lagu Don't Speak, Mahkluk Tuhan Paling Seksi dan Beat It.


Ada banyak lagi lagu ballad nyanyian artis kita yang hebat-hebat, menarik serta mampu mencabar vokal Stacy, kenapa Atas Nama Cinta yang dijadikan pilihan? Manakala lagu Aku Stacy pula mempunyai susunan muzik yang agak kelam kabut. Tapi seperti yang dikatakan, berikan Stacy lagu apapun dan dia mampu lakukan.

Nubhan sungguh memberangsangkan


Bukan Stacy seorang saja yang menjadi mangsa kepada lagu yang kurang menyengat diberikan pada malam itu. Naib Juara AF6, Riz juga tidak terkecuali. Mujurlah lagu 11 Januari daripada Gigi berjaya menyelamatkan persembahannya pada malam itu berbanding lagu barunya, Hanya Sandiwara, ciptaan Norlizan Abu Bakar dan Dean.


Malah, kemampuan Riz membawakan lagu 11 Januari dengan caranya yang tersendiri serta langsung tidak dibayangi dengan gaya vokal dan cara persembahan Armand Maulana memang nyata hebat sekali terutama pada adlib yang diselitkan dengan bijak pada tempat-tempat tertentu.


Bagi pemenang tempat ketiga AF6 iaitu Nubhan pula, nasibnya mungkin lebih baik sedikit kerana selain diberikan lagu Bukan Di Sini daripada Sofaz yang cukup mesra di halwa telinga tetapi agak mendatar dari segi komposisi lagunya, dia turut dianugerahkan sebuah lagu baru yang mempesona iaitu Ada Untukmu hasil ciptaan Zeti Akmar dan Abie Abdullah.


Tidak keterlaluan rasanya kalau dikatakan bahawa Ada Untukmu adalah satu-satunya lagu baru paling terbaik yang telah diciptakan untuk finalis pada malam itu.


Melodinya menarik dan lirik juga tersusun indah, ditambah penyampaian Nubhan begitu gemersik serta berkesan.


Pemenang keempat, iaitu Toi, cuba sedaya upaya untuk memberikan persembahan yang menghiburkan menerusi lagu Cinta Zulaikha daripada Mawi. Persembahan kedua Toi untuk menjiwai lagu baru berjudul Panahan Asmara karya Mohd Nur Hadi, Mohd Hafiz serta Ad Samad, tidak melonjakkan sangat vokalnya. Bukan sebab lagu tetapi sebab corak persembahan Toi sendiri yang agak mendatar.


Sebagai mana Stacy dan Riz, Nadia yang menduduki tangga ke-5 pula lebih menyerlah menerusi lagu Aku Lebih Tahu nyanyian Mila. Manakala, lagu Karut Lagi Mengarut ciptaan Clifford Joseph Husghes dan Amiruddin Syawal pula masih terlalu asing dan berat untuk diterima penonton.

Sumber - MURAI

No comments: